BESUT, 28 November 2021 – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyarankan seni ukiran kayu tempatan diberi keutamaan dalam dekorasi dan seni binaan di premis kerajaan dan pejabat kementerian-kementerian.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu penting dalam memantapkan kembali industri seni ukiran kayu negara yang kini semakin suram dan terpinggir ekoran arus kemodenan.

Majlis Penyerahan Mesin Kepada Pengusaha Bumiputera Dalam Industri Pembuatan Bot dan Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara 2021-2030
Majlis Penyerahan Mesin Kepada Pengusaha Bumiputera Dalam Industri Pembuatan Bot dan Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara 2021-2030

“Saya akan berbincang kaedah bagaimana kita boleh laksanakan untuk mempromosikan seni ukiran kayu di pejabat-pejabat kerajaan seperti digunakan pada plak nama, pintu pejabat dan sebagainya. Kalau ada ‘mass-order’ insya-ALLAH kumpulan mereka (pengukir) boleh buat dan bekalkan.

“Memang ada (pejabat) yang guna ukiran tetapi mengikut kementerian atau individu masing-masing, tidak ada satu arahan atau polisi yang keseluruhan (penggunaan seni ukiran kayu tempatan). Jadi mungkin sebagai menteri di KPPK, saya minta mereka mempertimbangkan menggunakan kayu-kayu ukiran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Mesin kepada Pengusaha Bumiputera Dalam Industri Pembuatan Bot dan Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030) di Desa Ukiran Kayu pada Ahad.

Zuraida berkata, cadangan itu juga dapat membantu meningkatkan hasil pendapatan 850 pengukir kayu di seluruh negara, termasuk 300 pengukir di Terengganu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030) pada Ahad dirangka untuk memartabatkan industri ukiran negara dan ia dihasilkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, usahawan industri perkayuan dan Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (Pengukir).

Guru Pengukir Mendemonstrasikan teknik ukiran yang diajar kepada pelatih ukiran kayu di Desa Ukiran Kayu, Kampung Raja, Besut.
Guru Pengukir Mendemonstrasikan teknik ukiran yang diajar kepada pelatih ukiran kayu di Desa Ukiran Kayu, Kampung Raja, Besut.

Pada majlis itu, Zuraida turut mengumumkan kelulusan peruntukan bernilai RM1.5 juta bagi keperluan mesin dan jentera pengukiran kayu perabot dan bot kepada penggiat seni ukiran di Besut, yang merupakan hab ukiran Melayu Terengganu.

“Sekarang mereka (pengukir) mengukir secara manual dan kalau manual ia lambat untuk dihasilkan. Ada perkara-perkara tertentu yang kita boleh buat dengan mesin jadi dengan adanya jentera pengukiran kayu ini ia dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil seni ukiran kayu,” katanya.

Menu