KUALA TERENGGANU, 17 November 2021 – Peningkatan jumlah usahawan yang menerima bantuan kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) sejak 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Haji Mohd Nurkhuzaini Bin Ab Rahman berkata, ia membuktikan bahawa kerajaan sedia ada adalah sangat prihatin dan bersedia untuk membantu usahawan-usahawan Terengganu.

Katanya, kami di Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan berusaha sehabis daya bagi mencapai hasrat kerajaan.
“Sebelum 2018 hanya sekitar 100 orang sahaja setahun yang menerima bantuan kerajaan melaui YPU tetapi sejak 2019 lebih 400 orang setahun usahawan Terengganu telah disantuni.
“Jumlah peruntukan kali ini yang diluluskan sekali ganda dari tahun sebelumnya, saya yakin dan percaya lebih ramai lagi usahawan yang dapat kita bantu, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan Bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Nurkhuzaini turut berkata, peruntukan RM10 juta untuk tabung usahawan sejahtera (TUGAS) tahun depan membolehkan pihaknya membantu lebih ramai usahawan terjejas akibat COVID-19.